Lebih kurang seminggu sekolah akan dibuka untuk sesi 2019. Mak ayah mesti tengah sibuk menyiapkan keperluan anak sekolah. Teringat kegembiraan yang aku sendiri alami tahun lepas apabila anak sulung aku berjaya melangkah kaki ke alam persekolahan. Kegembiraan aku & isteri tidak la sama seperti mak ayah lain. Dalam kegembiraan terpalit juga kerisauan. Bukan risau seperti mak ayah yang mempunyai anak yang normal, tetapi lebih lagi.
|
Putera yang dinanti telah lahir |
Selama hampir 2 tahun menunggu kehadiran cahaya mata, akhirnya pada tanggal 25/08/2011 lahirlah seorang putera yang sangat2 dinantikan. Kelahiran putera yang membuatkan aku bersyukur kerana zuriat dan penyambung warisan aku hadir buat pertama kalinya. Dilahirkan comel & sihat seperti bayi normal yang lain, tetapi siapa yang menyangka pada umurnya 2 tahun, aku & isteri telah sekali lagi diuji oleh Allah S.W.T. Kehidupan & kegembiraan aku & isteri terus berubah 360 darjah apabila putera kami di diagnosis ASD (Autisme Spectrum Disorder). Bohong kalau aku kata aku langsung tidak kecewa. Tetapi sampai bila harus aku kecewa? Bagaimana masa depan nya kalau aku tidak redha?
|
Tiada yang indah selain senyumannya |
Perlahan-lahan aku & isteri cuba terima takdir yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Alhamdulillah akhirnya kami redha akan ketentuanNYA. Bermula dari detik itu, aku cuba mencari yang terbaik untuk putera kami supaya dia dapat berdikari dimasa hadapan. Tidak ada perkara yang susah sekiranya kita berusaha. Dari hospital kerajaan hingga ke pusat terapi swasta aku redah untuk masa depan putera aku. Alhamdulillah kerja aku sentiasa dipermudahkan oleh Allah S.W.T, perubahan demi perubahan yang positif dalam diri putera aku.
|
Amsyar Nur Haziq ke alam sekolah |
Tahun depan, putera aku akan melangkah ke darjah 2 kelas Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI). Walaupun sukatan pelajaran tidak sama seperti murid normal yang lain, tapi aku tetap berbangga sebab putera aku dapat sama-sama ke sekolah seperti orang lain. Sehingga ke hari ini, aku masih terus menghantar putera aku ke terapi demi masa depannya.
Cukup setakat ini, nanti aku sambung lagi.