Buang Bayi Tindakan Kejam

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Betul-betul kejam. Kalau tak nak, bagi saja pada kita! Demikian reaksi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang terkejut dan kecewa dengan kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Saya bangun pagi tadi, terus baca tentang kes ini, ia betul-betul kejam. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya.

Shahrizat ditemui pemberita selepas melancarkan jurnal antarabangsa Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kes pembuangan bayi yang berlaku sejak Isnin lalu apabila mayat seorang bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang diikuti penemuan bayi perempuan yang masih hidup di Alor Setar, Kedah sehari kemudian.

Semalam, mayat seorang lagi bayi perempuan yang dihurungi semut ditemui di pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong di Melaka.

Shahrizat berkata, kejadian-kejadian itu menjadi satu petunjuk yang amat membimbangkan dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.

“Ini menunjukkan masyarakat kita menghadapi tekanan. Sebab itu dalam hidup kita ini perlu ada keseimbangan. Kita lihat dulu perkara seperti ini tidak berlaku sekerap ini.

“Ini kerana dulu kita ada keluarga yang besar. Apa-apa terjadi pun bukan saja ibu bapa membantu, saudara-mara lain juga akan tolong. Tetapi kita lihat ia sudah tidak ada pada hari ini sebab struktur keluarga yang kian berkecai,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan banyak lagi pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan wanita dan keluarga menyediakan bantuan kepada mereka yang tidak ada saluran lain untuk meminta pertolongan.

“Kita ada Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara. Kalau tak mampu hendak menjaga anak yang baru dilahirkan bagi pada kita, kita boleh jaga. Tolong jangan buat macam ini. Rumah-rumah perlindungan kita juga banyak.

“Setidak-tidaknya datang berjumpa pemimpin tempatan, Wanita UMNO pun boleh kalau sudah tidak tahu ke mana hendak minta bantuan lagi,” katanya.

Ketua Wanita UMNO itu memberitahu pergerakan itu dan NGO mempunyai kaunselor yang boleh membantu mereka yang bermasalah.

“Banyak orang nak bantu, kalau tak mampu bawa ke hospital atau balai polis. Saya percaya hospital akan terima,” tegasnya.

Apa yang penting bagi Shahrizat, perbuatan kejam dan tidak bertanggungjawab seperti membuang bayi tidak boleh dijadikan budaya dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Mengulas mengenai NIEW, Shahrizat berkata, pertubuhan itu akan menjadi penggerak kepada wanita di negara ini dan seluruh dunia untuk meneruskan perjuangan dalam isu-isu wanita.

Katanya, NIEW juga diyakini dapat meningkatkan imej wanita terutama di Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dalam segala hal.

“Kadang-kadang imej negatif terhadap wanita menjadi masalah kerana persepsi yang tidak dapat dihakis. Jadi NIEW perlu berusaha gigih untuk meningkatkan martabat wanita,” katanya.

www.utusan.com.my