Kerosakan Kapal Selam KD Tunku Abdul Rahman Tidak Membimbangkan

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan terdapat kerosakan kecil pada sistem saluran air bertekanan tinggi pada kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman menyebabkan aset strategik itu tidak boleh menyelam kerana dikhuatiri membahayakan.

Bagaimanapun beliau berkata, kerosakan mekanikal yang dikesan pada 7 Januari lalu ketika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah itu tidak membimbangkan kerana hanya melibatkan sistem sokongan kapal.

"Kerosakan itu melibatkan bahagian yang menyalurkan tekanan air keluar masuk dan ini menyebabkan kapal tersebut gagal dilancarkan ke bawah permukaan air. Ia berlaku ketika kapal selam berada di limbungan kering dan bukannya semasa operasi,'' katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam bahawa kapal selam pertama negara itu gagal menyelam berikutan masalah teknikal yang dialami sejak tiga bulan lepas.

Abdul Aziz ditemui selepas majlis penyerahan watikah pelantikan anggota Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas Abdul Aziz, kerosakan itu sedang dibaik pulih oleh kontraktor yang dilantik dan dijangka KD Tunku Abdul Rahman akan memulakan ujian perairan tropika pertamanya pada 18 Februari ini sebelum diteruskan dengan ujian persenjataan pada Mac.

"Kerosakan kecil seperti ini memang perkara biasa kepada mana-mana sistem persenjataan baru dan KD Tunku Abdul Rahman masih lagi dalam tempoh jaminan oleh syarikat pembuat iaitu DCNS.

"Namun, kami tetap memandang serius perkara ini walaupun kerosakan tersebut tidak mengganggu sistem utama kapal selam itu,'' jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa kapal selam yang sama juga pernah mengalami kerosakan di bahagian sistem penyejuk air laut tetapi telah dibaiki pada 17 Disember lalu.

Ditanya jaminan masalah sama tidak akan berlaku pada kapal selam kedua, KD Tun Abdul Razak, beliau berkata, ujian terperinci dilaksanakan secara berterusan ke atas kapal selam tersebut yang dijangka tiba pada 31 Mei ini.

Kapal selam Scorpene buatan Perancis dengan kerjasama Sepanyol yang diperolehi negara merupakan kapal selam tempur berenjin diesel antara paling canggih di dunia buat masa ini.

KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang dilengkapi sehingga 18 torpedo juga boleh melancarkan peluru berpandu anti-kapal permukaan Exocet SM-39, pada masa yang sama turut membawa 30 pemusnah periuk api serta mampu menyelam sehingga kedalaman 300 meter.